Sekadar Gambar Hiasan |
Cape Town: Seorang lelaki berusia 21 tahun dilaporkan berjaya menjalani pemindahan zakar pertama yang berjaya di dunia.
Pembedahan bersejarah dijalankan pakar bedah Afrika Selatan itu mengambil masa sembilan jam menggunakan alat sulit didermakan orang yang sudah mati, sekaligus membolehkan pesakit membuang air kecil seperti biasa dan menjadi aktif seksual semula.
Lelaki yang tidak dinamakan itu terpaksa memotong zakarnya selepas mengalami masalah akibat proses berkhatan tradisional dilaluinya, tiga tahun lalu.
Kejadian seumpama itu kerap berlaku terutama dalam kalangan pemuda puak Xhosa, malah 250 dijangka hilang zakar akibat proses berkenaan setiap tahun.
Ketua Bahagian Urologi Universiti Stellenbosch Profesor André van der Merwe yang turut terbabit dalam prosedur itu berkata, pihaknya berpuas hati dengan tahap pemulihan pesakit itu dan sembilan pesakit lagi bakal mendapat alat sulit baru.
“Masalah alat sulit memberi kesan psikologi serius terhadap lelaki terutama yang muda, malah ada juga yang membunuh diri akibat tertekan.
“Sukar mencari penderma organ. Sejujurnya, saya anggap penderma dalam kes ini dan keluarganya sebagai wira,” katanya.
Ini kali kedua pembedahan seumpama itu dibuat, namun kali pertama berjaya. Pada 2005, seorang lelaki di China menerima pemindahan organ, tetapi dia meminta membuangnya dua minggu kemudian.
Prosedur itu juga boleh dijalankan ke atas lelaki yang kehilangan zakar akibat kanser ataupun menghidap masalah disfungsi erektil.
No comments:
Post a Comment