Beijing: Demi menguji cinta, dua wanita nekad terjun ke dalam sungai untuk melihat siapakah yang diselamatkan seorang lelaki yang direbut mereka.
Menurut media semalam, Wu Hsia, 21, berdepan dilema apabila bekas kekasihnya – dan kekasih terkininya – melompat ke sungai hampir serentak.
Kejadian berlaku di bandar Ningbo di wilayah Zheijiang.
Konflik itu bukanlah baru bermula sehari dua lalu, sebaliknya sejak Disember 2014 apabila Wu memutuskan untuk meninggalkan Jun Tang, 20.
Wu kemudian menjalin hubungan cinta dengan Rong Tsao, 22.
Kecewa dengan keputusan Wu, Jun mula menganggu pasangan terbabit tanpa mengenal jemu.
Kehidupan Wu bertambah tertekan sejak itu apabila kekasih barunya turut kerap membebel mengungkit kisah silamnya dengan Jun.
Menurut media, Wu akhirnya mengambil keputusan untuk menyelesaikan masalah itu dengan memangil kedua-dua wanita terbabit supaya mereka boleh berbincang.
Tanpa dirancang, pertemuan itu secara kebetulan berlaku di tepi sungai.
Apabila bersemuka, keadaan menjadi panas kerana Jun mengherdik Rong sebelum dia melompat ke dalam sungai.
Sumber berkata, sebelum itu Jun meminta Wu untuk memilih dia atau Rong.
“Tanpa disangka, Rong juga bertindak sama dengan melompat ke dalam sungai dan memberi tekanan kepada Wu untuk bertindak,” katanya.
Sementara itu, Wu berkata, dia benar-benar buntu kerana perlu bertindak pantas untuk memilih sama ada menyelamatkan Jun atau Rong.
“Saya akhirnya memilih untuk menyelamatkan kekasih saya,” katanya.
Selepas menarik keluar Rong dari sungai, Wu menelefon abangnya yang kemudian memanggil bomba untuk mengeluarkan Jun dari air.
Apabila keadaan sedikit reda, Wu menghampiri Jun dan meminta penjelasan mengenai tindakannya.
“Sudah empat bulan kita berpisah, tetapi mengapa kamu masih mengganggu saya?” katanya.
Jun yang berlalu pergi sambil tersenyum menjawab: “Saya hanya mahu mengganggu kamu.”
No comments:
Post a Comment